Thursday, April 15, 2010

~:. ciNta .:~

Cinta akan terus hangat. Kerna ia fitrah insan yang akan terus diperbincangkan. Pelbagai fatwa ulama’-ulama’ ‘tak rasmi’ berkenaan cinta. Bila masuk bab cinta, isunya akan hangat mengalahkan isu Palestin, perjuangan dan kebangkitan. Bila masuk bab cinta, semua melontarkan komen seakan-akan alim benar akan halnya. Tidak segan salah kerana mengekspresi diri akan hal cinta.

Itulah dia penangan cinta.

Tetapi siapakah yang mengetahui bahawa cinta itu bagaimana di sisi Islam?


Apakah itu yang dinamakan CINTA?

Pendefinisian cinta secara umumnya adalah: Perasaan jiwa, kegembiraan, ketenangan, dan pengharapan kepada sesuatu. Boleh juga didefinisikan sebagai tarikan kepada sesuatu perkara.

Cinta mengikut definisi ini dikatakan adalah fitrah kepada manusia. Semua manusia yang membesar secara normal pastinya akan mempunyai perasaan ini. Baik kepada pasangan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Benar, ini adalah fitrah insan.

Dan saya ada definisi saya sendiri berkenaan cinta. Mudah definisi saya.

Cinta bermaksud: Hendak bersamanya di Syurga.

Saya memandai ke reka definisi ni? Tidak. Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki yang bertanya kepad baginda bilakah akan tibanya kiamat: “Apakah yang telah kamu sediakan untuknya?”

“Aku mencintai Allah dan Rasul-Nya sepenuh jiwaku”

Rasulullah SAW menjawab: “Maka kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai di akhirat sana”

Jadi, cinta yang sebenar adalah hendak bersamanya ke syurga.

Ini adalah peningkatan kepada definisi pertama yang mungkin boleh berubah menjadi ‘liar’. Tambahan, saya tak nampak cinta pada orang yang melemparkan yang dicintainya ke neraka.

Sifat CINTA

Bagaimanakah agaknya sifat CINTA?

Cinta letaknya di dalam jiwa. Dan jiwa manusia itu tunggang terbalik gayanya. Sebab itu ia dinamakan Qalb. Saya sukar hendak mendefinisikan Qalb sebagai Jatung atau hati. Saya nampak Qalb ini lebih dekat kepada jiwa, hati yang bukan organ.

Justeru, Cinta sifatnya berubah-ubah. Sebab itu perlu diletakkan ‘pemberat’ yang kukuh untuk menjaganya.

Maka jika saya, saya letakkan Allah sebagai ‘pemberat’nya. Allah adalah cinta pertama, membuahkan cinta-cinta yang lainnya. Allah adalah matlamat dalam bercinta. Justeru apakah cinta akan tersasar ke arah yang dimurkai-Nya?

Itu pun kadangkala terbongkah juga. Tak mengapa, usaha lagi agar cinta itu lebih kejap dan kuat. Bagaimana agaknya yang meletakkan ‘pemberat’ selain Allah SWT?

Darjat dalam Cinta

Cinta punya darjat. Tiga darjatnya. Agung, Pertengahan dan Hina. Mari kita perhatikan apakah dia tiga darjat ini.

1. Cinta Agung.

Seorang mu’min, di dalam jiwanya tak akan ada yang lebih tinggi daripada AllahSWT, mentaati-Nya, menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ini cinta yang agung di sisi Islam. Tiada yang akan mampu menandingi kelebihan cinta ini.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” Surah At-Taubah ayat 24.

Berapa hari ini yang kononnya menyelit-nyelitkan nama Allah dan kalimah-kalimah islamik dalam percintaan mereka untuk menghalalkan hubungan mereka. Padahal cinta manusia sesama mansuia kekal di tahap biasa sekiranya tidak dibumikan cinta kepada Allah itu dalam bentuk amalan.

Dikatakan cintakan isteri dan keluarganya kerana Allah, tetapi dia pula tidak membumikan Islam dengan sebenarnya. Islamnya hanya pada cinta. Islam terbina atas cinta. Dia tidak membina cinta itu di atas Islam. Maka jadilah cintanya terhuyung hayang ibarat layang-layang yang putus talinya.

Cinta yang agung inilah yang akan membuahkan cinta kepada Rasulullah SAW. Hanya dengan mendalami cinta agung ini, barulah kita akan mampu memahami dan mencintai Rasulullah SAW sebenar-benar percintaan. Sebagaimana seorang perempuan selepas peperangan Uhud, tidak terkejut mahupun bersedih dengan kematian sanak saudaranya. Tetapi dia risaukan keadaan Rasulullah SAW. Bila dikatakan Rasulullah SAW baik-baik sahaja, dia tidak puas. Dia bergerak mencari dan bertemu Rasulullah SAW. Ketika bertemu Rasulullah SAW, dia berkata:

“Ya Rasulullah, segala musibah menjadi kecil apabila melihat engkau dalam keadaan baik”

MasyaAllah. Kematian sanak saudaranya di dalam peperangan itu menjadi kecil?

Apatah lagi bila hendak bermaksiat kepada Allah SWT. Semestinya tidak dipandang langsung.

Sungguh indah cinta ini.

2. Cinta pertengahan

Cinta ini adalah yang biasa dihidapi oleh semua manusia. Cinta sesama insan, cinta kepada keluarga, cinta kepada sahabat-sahabat dan sebagainya.

Cinta ini, jika tidak dibina atas Cinta Agung tadi, maka ia akan jatuh ke tahap cinta yang hina. Sebab itu, cinta pertengahan ini perlu kita mulakan dahulu dengan Cinta yang Agung tadi.

Biar cinta kita kepada pasangan kita hanya kerana Allah, cinta kita kepada insan lain adalah kerana Allah, kepada keluarga kerana Allah, kepada sahabat-sahabat kerana Allah. Di sini akan menjadi penggerak kepada kekuatan dalaman dan ikatan yang utuh dalam hubungan.

Yang menjadikan hubungan ini menarik apabila dibina atas Cinta Agung, adalah hubungan ini akan menembusi Syurga merentasi neraka.

Namun, jika tidak dibina atas Cinta Agung, hubungan ini hanyalah sia-sia dan tidak mendapat apa-apa. Gembira-gembira sebentar di atas dunia yang fana, di akhirat merana selama-lama.

3. Cinta Hina

Apakah cinta yang hina? Itulah dia cinta kepada taghut dan kesesatan. Memang mungkin kalau dikatakan begini, tiada yang akan menyatakan dirinya jatuh ke tahap cinta hina. Tetapi hakikatnya, melanggar perintah Allah SWT, tidak mengambil hukumnya sebagai aturan kehidupan, melakukan apa yang Allah larang, itu semua sudah termasuk ke dalam cinta kepada taghut dan kesesatan.

Tambah hina apabila di dalam jiwa kita ada rasa ‘cinta’ dengan maksiat dan keingkaran.

Cinta inilah yang akan menyeret Cinta Pertengahan kepada kerosakan.

Lihatlah dalam kehidupan kita hari ini. Pandang sekeliling kita. Lihat di dalam kaca TV. Bagaimana masyarakat kita memahami cinta.

Bila bercinta dilangkah semuanya. Agama, adat, sopan santun dan pantang larang. Allah diletak tepi, pesanan Rasulullah SAW tidak diendahkan lagi. Maka rosaklah keimanannya, memudahkan syaitan menyeluk ke dalam jiwanya.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang itu melainkan aku ini dicintainya melebihi dirinya sendiri” Hadith riwayat Bukhari.

Inilah dia cinta yang hina.

Syaitan menunggang-nunggang di atas mereka.

Di tahap manakah cinta kita?

Persoalan kepada kita adalah cinta kita di tahap mana?

Dengan jalan apakah kita bercinta? Apakah cukup sekadar melantun-lantun kalimah islamik untuk menghalalkan cinta? Atau keimanan itu perlu mengiringi cinta dalam erti kata yang sebenarnya?

Macam saya kata, bukankah pelik kalau kita kata cinta sedangkan kita melempar orang yang kita cinta itu ke neraka?

Sebab itu definisi saya mudah.

Cinta: Hendak bersamanya di Syurga.

Apakah anda nampak sekarang?

Maka di manakah darjat cinta yang kita jalankan hari ini?

Penutup: Fitrah fitrah juga. Tetapi ia perlu dikawal dengan sebaiknya

“Ala bro, ni fitrah la…”

Saya banyak kali dengar alasan ini. Ha, yalah. Siapa kata cinta bukan fitrah? Tetapi fitrah itu perlu dikawal. Makan dan minum adalah fitrah. Tapi kalau tidak dikawal? Macam-macam penyakit datang.

Begitulah cinta.

Sebab itu, manusia perlu memahami cinta dengan sebaiknya. Peringkat-peringkat cinta ini akan membantu kita beringat-ingat untuk mengukur hala tuju cinta kita.

Persoalan akhir saya tinggalkan untuk anda.

“Apakah anda mencintai diri anda sendiri?”

Sila guna definisi cinta saya.

Dan jawab sendiri dengan jujur di dalam jiwa.

Berdasarkan jawapan anda, apakah yang anda telah lakukan?



www.langitilahi.com

1 comment:

  1. ingatlah,
    Allah tidak akan membebankan seseorang itu dengan apa yang dia tidak mampu tanggung (286:1), jadi, "And hold fast, all you together, to the rope of ALLAH" (3:103)..

    open ur eyes,
    open ur mind,
    berjuang tu berjuang jugak,
    pasal pelajaran jangan tinggal terus,,,
    itu adalah jihad yg lebih penting...

    ReplyDelete